ICSC 2023

ezgif 2 3a4158d5548a NEW
 
ICSC 2023 PLATFORM PERKONGSIAN CABARAN DAN PELUANG KAJIAN KES
UUM ONLINE: Melaka - Universiti Utara Malaysia (UUM) komited dalam membina persekitaran perniagaan yang kukuh dan berkekalan bagi mencapai kemampanan di Malaysia.
Dalam usaha merealisasikan hasrat itu, kajian kes dilihat dapat membantu untuk memahami cabaran dan peluang tersebut, justeru penganjuran Persidangan Kajian Kes Antarabangsa (ICSC) Ke-8 ini adalah bertepatan.
Mengangkat tema ‘Fostering Competitive Business Environment For National Sustainability’, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ICSC 2023 ini menawarkan platform terbaik untuk para sarjana dan pakar dalam bidang perniagaan dan pengurusan untuk mempamerkan hasil kajian kes penyelidikan dan pengajaran masing-masing.
“Hari ini, UUM menerusi Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) telah berjaya menjana hampir 172 kes pengajaran tempatan dengan 144 daripadanya boleh diakses dalam talian.
“Sebagai contoh, IMBRe UUM telah mencipta kes terhadap organisasi terkemuka Malaysia seperti Malaysian Airport Holding Berhad, JAKIM, Sime Darby Berhad, MIMOS Berhad, Maybank Berhad, Proton, Petronas, Nestle, Telekom Malaysia, MAS, FGV Holdings Berhad dan LHDN,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Kajian Kes Antarabangsa (ICSC) Kali Ke-8.
Teks ucapan beliau itu dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, hari ini.
Tambah beliau, kes-kes ini telah digunakan secara meluas oleh universiti tempatan dan antarabangsa. Lebih menarik lagi, beberapa kes ini juga telah diterbitkan dalam jurnal terindeks Scopus dan telah menerima anugerah berprestij sebagai kes terbaik di kedua-dua persidangan kebangsaan dan antarabangsa.
Sehubungan itu, ujar Dr. Mohd Foad, UUM berhasrat untuk mengangkat martabat IMBRe-UUM dengan menubuhkan Pusat Kajian Kes Kebangsaan (PKKN) setelah mendapat kelulusan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini.
Katanya, pusat tersebut akan memberi tumpuan kepada menghasilkan kajian kes yang berkepentingan nasional.
“Selepas lebih 13 tahun IMBRe ditubuhkan, sudah tiba masanya pusat ini untuk meluaskan ufuknya dan meluaskan jangkauannya ke peringkat nasional dan antarabangsa,” kata beliau.
Persidangan selama dua hari ini turut menjemput Pengarah ICFAI Business School (IBS) Bangalore, India, Prof. G.V Muralidhara dan Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Madya Dr. Syaiful Rizal Abdul Hamid sebagai pengucap tama.
Membawa tajuk ‘Fostering Competitive Business Environment For National Sustainability’, Prof. G.V. Muralidhara telah mengarang dan menjadi penulis bersama untuk lebih 150 kajian kes dalam bidang pengurusan.
Manakala Dr. Syaiful Rizal pula membawa tajuk ‘Food Security Scenario: The Case of Agriculture, Livestock and Processes Food Industry in Melaka’, telah menulis lebih 80 kajian kes dalam pelbagai bidang seperti Pengurusan Kualiti, Kelestarian dan Teknologi.
Hadir sama, Pengarah IMBRe, Prof. Madya Dr. Zarifah Abdullah.