IMBRe Promosi Kelestarian Alam di Lumut, Perak

ezgif 2 3a4158d5548a NEWIMBRE PROMOSI KELESTARIAN ALAM DI LUMUT

UUM ONLINE: Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) UUM menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan kebersihan dan keselamatan pantai terpelihara sekali gus menyerlahkan imej UUM sebagai Universiti di Rimba Hijau yang mencintai alam sekitar

Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Zarifah Abdullah berkata, program ini merupakan salah satu usaha dalam melestarikan kebersihan pantai, di samping menyumbang kepada keseimbangan ekosistem.

Katanya, kawasan Lumut di Perak menjadi destinasi tumpuan pelancong bagi menikmati keindahan alam semulajadi dengan laut yang membiru, pasir yang memutih dan burung yang berterbangan bebas.

“Tinjauan mendapati tahap kesedaran terhadap kebersihan masih rendah, justeru program ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada penduduk dan pelancong yang datang ke sini.

“Sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata menyebabkan pantai menjadi kotor dan menyakitkan mata. Oleh itu, IMBRe melancarkan ‘Walk & Clean 2020’ untuk membantu kerja pembersihan dengan mengutip sampah di sekitar pantai,” katanya pada Bengkel Halatuju dan Pemantapan Jabatan 2020.

Bengkel selama tiga hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada staf bagi percambahan minda dalam mengenalpasti hala tuju yang jelas selaras dengan penubuhan IMBRe dalam memantapkan proses pentadbiran, kewangan, penyelidikan kajian kes, penerbitan jurnal atau buku, penganjuran bengkel dan seminar.

Sementara itu, pegawai tadbir, Muhammad Khairul Munawwar Ismail berkata, program membersihkan kawasan pantai merupakan salah satu sumbangan UUM kepada masyarakat selain menyokong Tahun Melawat Malaysia 2020 yang baru dilancarkan.

“Kami berjaya mengutip sampah termasuk yang boleh dikitar semula seperti plastik, penutup botol, beg, straw, bekas makanan dan minuman serta puntung rokok yang dibuang di sepanjang pantai.

“Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat mewujudkan hubungan antara UUM dan masyarakat, tetapi kita juga dapat meningkatkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk memelihara alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, dia berharap program tersebut dapat mewujudkan kesedaran kepada masyarakat dan pelancong tentang kepentingan menjaga alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi akan datang.